Jangan biarkan keris pusaka ini terhunus dengan sendirinya....

Tuesday, April 26, 2011

Kes ADUN Sri Muda disebut semula 20 Jun



SHAH ALAM 25 April - Kes Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei yang didakwa di bawah Akta Hasutan 1948 akan disebut semula di Mahkamah Sesyen di sini pada 20 Jun ini.

Hakim Slamat Yahya menetapkan tarikh itu selepas peguam Nizam Bashir memaklumkan bahawa anak guamnya akan menunaikan umrah pada awal Jun ini.

Tambahan pula, menurut peguam itu, pihaknya pada 1 April lalu sudah memfailkan notis usul untuk memohon perisytiharan bahawa akta tersebut bercanggah dengan Artikel 5,8 dan 10 Perlembagaan Persekutuan.

Permohonan untuk membatalkan pertuduhan tersebut menurut Nizam akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini pada 31 Mei ini.

Pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Syakimah Ibrahim.
Wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) berusia 42 tahun itu didakwa menerbitkan artikel bertajuk: Pandangan Saya Berasaskan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 yang mengandungi ayat-ayat menghasut di laman web http://srimuda.blogspot.com.

Ia didakwa dilakukan di Pusat Khidmat Rakyat, 6/2, Jalan Anggerik Vanilla R31/R, Kota Kemuning di sini pada 30 Disember tahun lalu.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

No comments:

Post a Comment