Jangan biarkan keris pusaka ini terhunus dengan sendirinya....

Saturday, April 30, 2011

MB Selangor gila kuasa


KUALA LUMPUR 28 April - Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor didakwa melakukan pembaziran ke atas wang rakyat apabila meluluskan RM600,000 daripada Akaun Amanah Penswastaan untuk kempen memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar menyifatkan kempen itu tidak lebih daripada gimik politik pembangkang kerana hanya Kerajaan Pusat yang boleh memansuhkan akta berkenaan.

"Saya mencabar Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selaku Ahli Parlimen Bandar Tun Razak menggunakan peluang di Dewan Rakyat untuk membincangkan peruntukan memansuhkan ISA.

"Abdul Khalid bukan sahaja tidak tahu menggunakan platform (yang betul) malah dianggap gila kuasa kerana undang-undang hanya boleh dimansuh dengan sokongan majoriti di Dewan Rakyat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Noh mengulas keputusan kerajaan PKR Selangor meluluskan peruntukan RM600,000 untuk melaksanakan kempen memansuhkan ISA yang dijangka bermula bulan depan.
Beliau berkata, rakyat Selangor seharusnya dapat menilai tindakan yang dilakukan kerajaan negeri itu adalah sesuatu yang sia-sia.

Ketua Pemuda MIC, T. Mohan pula mendesak kerajaan PKR Selangor menunaikan janji-janjinya kepada rakyat dan bukan menyalahgunakan duit rakyat untuk kempen itu.
"Orang ramai boleh membuat aduan mengenai penyalahgunaan kuasa kerajaan negeri itu jika mereka tidak berpuas hati dengan tindakan tersebut," ujarnya.

Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong pula berkata, parti pembangkang 'cakap tidak serupa bikin' apabila sering menuntut kerajaan Barisan Nasional (BN) melaksanakan perbelanjaan berhemat sedangkan mereka melakukan sebaliknya.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin pula berkata, tindakan kerajaan negeri itu menunjukkan sikap pembangkang yang sanggup menggunakan wang rakyat untuk menentang akta yang diwujudkan demi keamanan dan kesejahteraan rakyat.

"Puteri UMN0 percaya pembangkang kehabisan modal sebab itu membangkitkan semula isu ISA sedangkan kerajaan sentiasa memastikan akta itu digunakan untuk menahan pesalah yang dikenal pasti berniat menjejaskan keselamatan negara," ujarnya.

No comments:

Post a Comment