Jangan biarkan keris pusaka ini terhunus dengan sendirinya....

Tuesday, May 10, 2011

UMNO perlu mantapkan persiapan hadapi PRU-13



KUALA LUMPUR 10 Mei — Seluruh ahli UMNO perlu meningkatkan usaha untuk memantapkan persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 yang pasti tiba, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Bunyikan semboyan, pukullah gendang perang dan panaskan jentera. Jangan sesekali membiarkan fitnah, kepalsuan dan cubaan untuk memperdaya rakyat berjaya.

"Ingatlah, jasa-jasa lalu akan hanya tinggal dalam lipatan lembaran sejarah jika kita gagal dalam ujian yang besar ini. UMNO perlu terus gagah dan relevan untuk melakar jasa-jasa baru demi untuk agama, bangsa dan negara,” katanya dalam perutusan sempena Hari Ulang Tahun UMNO ke-65 yang akan disambut esok.

Perdana Menteri berkata, badai yang telah melanda parti pada pilihan raya umum yang lepas bukanlah alasan untuk terus bersikap pesimistik dan kini bukan masanya untuk terus mengeluh serta mengenang perkara lalu.

"Hakikatnya jika kita masih lagi tidak mengenal pasti apa kesilapan kita dan mengambil langkah-langkah pembetulan setelah lebih tiga tahun pilihan raya umum ke-12 berlalu maka kita sebenarnya hanya menempah masa depan yang kelam untuk parti dan rakyat.

"Kini adalah masa untuk bertindak dan bekerja bukannya masa untuk bernostalgia dan beremosi,” katanya.
Beliau berkata, ahli UMNO harus bersyukur ke hadrat Allah SWT dan berterima kasih kepada rakyat Malaysia kerana masih menjadi parti pemerintah yang mendapat kepercayaan dan diyakini orang-orang Melayu dan Bumiputera khasnya serta rakyat Malaysia amnya.

Katanya, kepercayaan dan keyakinan ini bukan wujud secara semula jadi tetapi dimenangi serta dipupuk hasil keikhlasan dan iltizam perjuangan generasi kepimpinan dan anggota UMNO silih berganti. — Bernama

pemudatg kata: Ayuh seluruh Jentera BN bersiap siaga untuk menghadapi PRU 13 dan menentang penipuan dan tipu daya dari pihak pembangkang.

No comments:

Post a Comment