KUALA LUMPUR 30 Jan. - Tindakan Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan yang keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam membuktikan parti tersebut semakin menuju kehancuran pada kadar yang begitu cepat.
Ahli Parlimen Kulim- Bandar Baharu, Zulkifli Noordin berkata, tindakan Gobalakrishnan itu juga membuktikan langkah para pemimpin PKR yang meninggalkan parti itu sebelum ini adalah meliputi semua agama dan kaum.
Sebagai bukti, katanya, beberapa nama besar dalam PKR dari pelbagai kaum telah meninggalkan parti seperti 'pembawa' aliran Melayu sekular, Datuk Zaid Ibrahim; pembawa aliran pemikiran bukan Islam dan perjuangan rakyat Sabah, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan dan pembawa aliran pemikiran Cina dan bukan Melayu, Ng Lum Yoong.
Selain itu, jelasnya, PKR juga telah ditinggalkan oleh Gobalakrishnan yang dikenali sebagai pejuang masyarakat India dan penganut Hindu serta beberapa tokoh agama Islam termasuk dari kalangan yang pernah rapat dengan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Peletakan jawatan YB Gobi (Gobalakrishnan) dan perisytiharan keluar beliau adalah satu isyarat jelas bahawa Parti Kelentong Rakyat ini sudah hancur lebur.
"Teman tahu ada beberapa orang lagi Ahli Parlimen (termasuk ADUN), kepimpinan kanan parti yang akan mengambil langkah yang sama tidak lama lagi. Masing-masing menunggu masa dan ketika yang sesuai untuk bertindak sedemikian," katanya.
Beliau berkata demikian dalam entri bertajuk 'Vanekem macha! Poodah Anvar' dihttp://zul4kulim.blogspot.com/ hari ini bagi mengulas tindakan Gobalakrishnan yang mengisytiharkan melepaskan semua jawatan dan keluar daripada PKR.
Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong melalui blognya pula memberitahu, beliau percaya Gobalakrishnan bukan merupakan pemimpin terakhir dari PKR yang meninggalkan parti tersebut.
Katanya, tindakan Ahli Parlimen Padang Serai itu membuktikan beliau sudah muak dengan permainan 'politik cakap tak serupa bikin' dan politik penipuan yang diamalkan dalam PKR.
"Selepas ini Gobalakrishnan akan dilabel dengan gelaran pengkhianat oleh Anwarinas (penyokong Anwar) dan dibantu pula oleh sesetengah portal berita tetapi ia lebih baik daripada digelar pengecut dengan menyembunyikan segala kesalahan yang nampak di depan mata," tegasnya.
Zulkifli dan Choo Keong yang turut meninggalkan PKR sebelum ini mengucapkan tahniah serta mengalu-alukan tindakan Gobalakrishnan menjadi Ahli Parlimen seperti mereka.
No comments:
Post a Comment