Jangan biarkan keris pusaka ini terhunus dengan sendirinya....

Wednesday, December 8, 2010

Ketuanan Melayu lebih sesuai disebut “Kedaulatan Melayu”

JOHOR BAHRU 8 Dis. – Ketuanan Melayu lebih sesuai disebut “Kedaulatan Melayu” kerana ia mencakupi kedudukan Raja-Raja Melayu dan rakyatnya dan bukannya soal antara “tuan” dan “hamba”, titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

"Ketuanan Melayu merujuk kepada Kedaulatan di negeri Melayu dengan kedudukan Raja sebagai puncak kerajaan negeri-negeri Melayu,” titah baginda semasa merasmikan Multaqa Ulama Darul Ta’zim di sini hari ini.

Menurut baginda apabila British memberikan kemerdekaan kepada negara ini, mereka menyerahkan semula Tanah Melayu kepada tuannya iaitu Raja-Raja Melayu dan rakyatnya.
Ini kerana, awal sebelum kedatangan British dan sebelum kedatangan mana-mana bangsa ke negara ini, telah wujud tuan kepada tanah ini iaitu Raja-Raja Melayu dan rakyatnya, titah baginda.

"Sejak dulu lagi, ketika negeri-negeri Melayu belum dijadikan sebuah Persekutuan, Raja-Raja Melayu dan rakyatnya menerima orang luar sebagi tetamu dan memberikan mereka ruang mencari rezeki serta sama-sama membangunkan Tanah Melayu.

“Apabila sudah menjadi Persekutuan, hak-hak kaum lain terus juga dijaga dan dihormati serta dijamin oleh Perlembagaan,” titah baginda. – Bernama

pemudatg kata: Ketuanan dan Kedaulatan Melayu itu melambangkan Institusi Raja Berperlembagaan tertinggi di dalam sistem Berparlimen di dalam amalan Demokrasi di Malaysia, iaitu dari Rakyat kepada Rakyat.
Institusi Raja Berperlembagaan tetap utuh dan tidak boleh perkotak-katikkan oleh sesiapa dan wajar seluruh rakyat menghayatinya sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira kaum. Dimana bumi dipijak, disitulah langit dijunjung!
Daulat Tuanku. Sembah patik harap diampun. Daulat Tuanku

No comments:

Post a Comment